News Categories

general politics economy sports community

Saturday, April 2, 2011

Penganalisis percaya kerusi Biadyuh gugur ke tangan pembangkang


RAMALAN yang sebahagian kerusi Bidayuh akan gugur ke tangan pembangkang pada pilihan raya negeri 16 April ini mustahil akan menjadi kenyataan.
Itu pendapat penyandang kerusi di kawasan Bidayuh dan penyokong Barisan Nasional (BN), tapi bagi penganalisis politik mereka percaya ‘tsunami kecil’ akan melanda kawasan Bidayuh pada pilihan raya kali ini.
Penganalisis politik Profesor James Chin, misalnya cukup berani menyatakan bahawa undi kaum Bidayuh akan beralih hala dan berpihak kepada parti pembangkang pada pilihan raya akan datang.
Beliau meramalkan separuh daripada kerusi Bidayuh akan ditawan pembangkang.
Enam kerusi Bidayuh ialah Opar, Kedup, Tebedu, Tarat, Bengoh dan Tasik Biru.
Dua kerusi yang dikatakan mungkin jatuh ke tangan pembangkang ialah Kedup dan Bengoh.
Sementara itu, pensyarah kanan sains politik di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Ahi Sarok berpendapat BN masih boleh memenangi kesemua enam kerusi berkenaan tapi dengan majoriti undi yang menurun.
Katanya, terlalu banyak isu yang boleh diekploitasi pembangkang untuk menimbulkan rasa benci rakyat terhadap kerajaan seperti isu pengambilan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), masalah kelewatan perlaksanaan kemudahan asas untuk rakyat seperti projek bekalan air dan elektrik serta kemudahan jalan raya.
Beliau berkata, isu pembayaran pampasan tanah NCR dan tanaman yang tidak setimpal dengan harga pasaran juga akan menjadi bahan berkempen pembangkang.
Namun bagi penyandang kerusi Tebedu Datuk Seri Michael Manyin, beliau cukup berkeyakinan masyarakat Bidayuh kuat di belakang BN dan BN boleh mengekalkan kesemua enam kerusi berkenaan.
“Kita (BN) akan mengekalkan keenam-enam kerusi berkenaan walaupun saya mengaku bahawa masih ada isu dan masalah di kalangan masyarakat Bidayuh yang belum diselesaikan,” kata Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi itu.
Penyandang kerusi Bengoh Dr Jerip Susil pula berkata kadang kala ramalan penganalisis politik tidak menggambarkan keadaan sebenar di peringkat akar umbi.
Katanya, kadang-kadang penilaian mereka adalah berdarkan apa yang didengar tapi mereka tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku di peringkat akar umbi.
“Memang benar masih ada isu yang belum diselesaikan tapi ia tidak cukup untuk mengalihkan undi masyarakat Bidayuh untuk berpihak kepada pembangkang,” katanya.
Dr Jerip mengaku bahawa di kawasannya sendiri (Bengoh) isu seperti penempatan semula penduduk berikutan perlaksanaan Empangan Bengoh dan kegiatan pembalakan haram telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk tapi berjanji ia akan diselesaikan dalam sedikit masa lagi.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Chatbox

 
Powered by Blogger