Oleh ROBERT KENNETH
1 dan 2 Jun setiap tahun merupakan hari untuk masyarakat Dayak terutama kaum etnik Iban dan Bidayuh menyambut perayaan Gawai Dayak.
Perkataan 'Gawai' bermaksud ritual atau festival sedangkan Dayak adalah nama kolektif untuk kumpulan etnik asli di Sarawak dan tetangganya Kalimantan, Indonesia.
Gawai Dayak bermaksud "Festival Dayak".
Semasa festival ini masyarakat Dayak akan mengadakan rumah terbuka untuk menyambut tetamu serta mengunjungi rumah teman-teman dan saudara mara.
Kunjungan seperti ini dikenali sebagai "ngabang" dalam bahasa Iban dan Bidayuh.
Pada zaman dahulu suasana sambutan berbeza-beza antara satu tempat dengan tempat lain dan setiap rumah panjang atau kampung menetapkan tarikh mereka sendiri untuk menyambut festival tersebut.
Pelbagai upacara persembahan dan hidangan tradisional tempatan dan 'tuak' (minuman keras yang diperbuat daripada beras) dihidangkan kepada para tetamu.
Ia adalah perayaan yang unik dan tidak seharusnya dilepaskan oleh pelancong tempatan dan asing.
Bagi kaum Dayak yang tinggal di kawasan-kawasan pedalaman, Gawai merupakan ungkapan rasa syukur kepada Tuhan Yang Maha Esa kerana memberi hasil tuaian padi yang lumayan.
Sementara mereka yang di bandar melihat Gawai Dayak sebagai perayaan untuk bersyukur kepada Tuhan kerana mereka diberi kehidupan yang makmur sepanjang tahun.
Persiapan untuk menytambut Gawai Dayak bermula awal. Tuak (arak beras) disediakan lebih awal, sekurang-kurangnya sebulan sebelum perayaan.
Apabila tarik perayaan semakin dekat, setiap orang akan sibuk membersihkan dan menyiapkan makanan dan kueh-muih.
Sehari sebelum sambutan, beras pulut (lemang) dibakar di dalam buluh.
Di rumah panjang Iban tikar baru akan diletakkan di sepanjang 'ruai' rumah panjang bagi menyambut ketibaan tetamu.
Sedangkan bagi masyarakat Bidayuh moden hari Gawai Dayak dirayakan dengan mengadakan rumah terbuka. Makanan dan minuman disajikan kepada tetamu.
Perbelanjaan untuk merayakan Gawai Dayak zaman ini terlalu tinggi kerana harga barangan makanan yang naik melangit hari ini.
“Seluruh perbelanjaan boleh mencecah ribuan ringgit,” kata Taleng Gael, 50, dari Kampung Jenan.
Malangnya, upacara ritual Gawai dalam masyarakat Bidayuh sudah pupus ditelan zaman kemodenan.
Sekarang generasi muda tidak mempunyai peluang untuk mengamati 'dayung boris' atau 'dayung beris' dalam longhat Bidayuh Biatah dan 'tukang ranjak' yang melakukan ritual Gawai.
Generasi baru Bidayuh hari ini juga tidak berkesempatan melihat tarian Gawai 'rejang' serta ritual Gawai yang pernah dilakukan oleh ketua adat gawai dan 'tamang' suatu masa dulu.
"Tidak ada lagi upacara ritual dilakukan semasa festival Gawai Dayak sejak lebih sepuluh tahun lalu,” kata Singoi Anak Jaya, 93, yang pernah menjadi ketua adat Gawai di kampung beliau.
Menurut Singoi, di masa lalu upacara ritual membuat festival lebih bermakna dan meriah berbanding sekarang.
"Sekarang masyarakat Bidayuh merayakan Hari Gawai hanya dengan mengadakan rumah terbuka, menjamu selera selama dua, tiga hari atau lebih tapi mereka tidak mempunyai upacara ritual untuk mengucapkan terima kasih kepada roh padi kerana memberikan hasil tuaian padi yang lumayan.
"Bagaimanapun, zaman sekarang tidak ramai kaum Bidayuh yang menanam padi sehingga mereka tidak perlu menunjukkan rasa terima kasih kepada roh padi," kata Singoi berseloroh.
Singoi berkata, di masa lampau kaum Bidayuh mengamati penuh upacara ritual Gawai dan sebab itu mereka sentiasa mempunyai bekalan beras yang mencukupi.
Ketika diminta untuk menceritakan sedikit tentang bagaimana festival itu dirayakan di masa lalu, Singoi menjelaskan upacara biasanya diadakan di beranda rumah panjang atau 'awah' yang menjadi pusat ritual Gawai.
Katanya, persiapan untuk menyambut Gawai Dayak bermulai seminggu lebih awal apabila penduduk kampung atau rumah panjang bergotong-royong untuk memperbaiki 'awah' dan 'tanju' tempat upacara Gawai akan diadakan.
"Sanggar (menara buluh) akan dibina di 'awah' dan 'tanju' di mana persembahan/hidangan kepada roh padi akan ditempatkan.
"Pukulan gong dan gendang memeriahkan suasana festival sementara ucapara ritual biasanya melibatkan golongan yang berumur kerana dipercayai kuat semangat,” katanya.
Beliau berkata, tarian Gawai ‘rejang’ juga dilakukan dan ‘dayung beris’ akan menyanyikan lagu-lagu Gawai.
"Ayam disembelih sebagai korban. Setiap penduduk kampung termasuk para tetamu harus menghormati pantang larangan yang duikuatkuasakan oleh ketua adat gawai.
“Mana-mana orang yang melanggar pantang larang boleh jatuh sakit,” katanya.
Upacara ritual biasanya akan memakan masa tiga atau empat hari, bahkan ada yang sehingga tujuh hari, tujuh malam.
Dalam masyarakat Bidayuh Biperoh ritual Gawai bermula dengan memanggil roh padi untuk menyertai upacara ritual dan festival.
Mereka yang terlibat dalam ritual Gawai biasanya golongan yang sudah berumur dengan diketuai 'ketua gawai' atau 'tamang'.
Singoi berkata, upacara ritual Gawai biasanya akan berlangsung satu jam sebelum tengah malam sebelum sambutan Gawai Dayak.
"Selama upacara ritual semangat padi akan dipanggil untuk menyertai upacara berkenaan,” kata Singoi, yang telah mencapai status 'tamang'.
Seorang ‘tamang’ adalah seseorang yang telah melalui beberapa peringkat upacara adat gawai dan orang yang berani dan tidak takut kepada hantu.
Katanya, selama upacara ritual diadakan ketua adat gawai akan membaca mentera memohon berkat roh padi untuk tuaian yang lebih baik serta meminta bimbingan sambil mengibar seekor ayam di atas ‘hidangan’ dan orang-orang yang turut serta dalam upacara itu.
Ayam berkenaan kemudiannya disembelih dan darahnya digunakan untuk upacara ritual berkenaan.
Ini akan diikuti persembahan tarian 'rejang' mengelilingi ‘sanggar’ dengan paluan gong dan gendang.
Setelah upacara ritual selesai disempurnakan, semua yang hadir dijemput untuk berjamu selera di ‘awah’ sambil berhibur.
Read full article>>