News Categories

general politics economy sports community

Saturday, April 2, 2011

Dijangka empat calon berentap di Tebedu

KUCHING: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu yang menjadi kubu kuat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dijangka akan menyaksikan pertandingan empat penjuru.
Empat calon yang dijangka berentap merebut kerusi berkenaan ialah penyandangnya Datuk Seri Michael Manyin dari Barisan Nasional (BN), calon PKR Dr Christopher Kiyu, calon SNAP Anthony Nais dan seorang calon Bebas.
Anthony berkata, beliau mendapat tahu seorang calon bebas berketurunan Melayu akan ‘ditanam’ di kawasan berkenaan bertujuan memecah undi PKR dan SNAP.
Namun pemerhati politik di kawasan itu tidak yakin strategi untuk meletakkan calon Melayu bertanding di kerusi itu akan memihak kepada BN.
“Sokongan pengundi Melayu sebenarnya cukup kuat terhadap BN, tapi strategi meletakkan calon Melayu hanya akan memecahkan undi pengundi Melayu,” kata Peter Gail.
Sementara pengundi di kerusi Kedup, iaitu antara kawasan panas pada pilihan raya negeri kali ini berkemungkinan akan menyaksikan calon BN berhadapan tugas yang berat untuk menangkis segala propaganda yang akan dibangkitkan pembangkang.
“Ini disebabkan terlalu banyak isu yang berlaku di kawasan tersebut, termasuk isu tanah NCR, isu kemunduran kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya serta isu pembalakan,” katanya.
Penyandang kerusi Kedup Federick Bayoi dikatakan telah diminta untuk berehat oleh pucuk kepimpinan BN dan tidak akan dicalonkan semula.
Namun BN mempunyai ramai calon untuk dipilih bertanding di kerusi itu, yang antaranya Dr Eric Munjan dan Martin Ben, iaitu anak kepada bekas menteri Kabinet Negeri mendiang Datuk Michael Ben.
Begitu juga PKR yang sehingga ini belum membuat keputusan berhubung calonnya di kerusi berkenaan.
“Di pihak BN ada enam orang berminat untuk menjadi calon,” kata Anthony.
SNAP telahpun menamakan Sylvester Belayong sebagai calonnya di kerusi itu dan beliau dikatakan telah bergerak di kawasan itu sejak tahun lalu.
Anthony dalam pada itu tidak bersetuju apabila Ketua Perhubungan PKR Sarawak Baru Bian menyatakan pembahagian kerusi antara Pakatan Rakyat (PK) masih belum diputuskan.
“Bagi pihak SNAP perkara itu sudah diselesaikan setelah kami menamakan calon-calon kami di semua 28 kerusi Dayak.
“Yang belum selesai adalah pihak PKR tapi itu masalah mereka dan mereka sendiri yang patut menyelesaikannya,” kata Anthony.
Difahamkan PKR sendiri berhadapan dengan masalah untuk menamakan calonnya kerana terdapat tiga senarai calon yang berbeza yang telah dikemukakan kepada pucuk kepimpinan parti.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Chatbox

 
Powered by Blogger