KUCHING : Dua beradik berketurunan Iban dari Kampung Antayan Kropok, Serian dan dua Bidayuh dari Sarawak dipercayai dipaksa bekerja tanpa menerima sebarang gaji di sebuah kedai membuat roti (kuih pau) di Puchong, Selangor.
Nasib mereka yang bagaikan hamba itu didedahkan dua adik beradik itu pada sidang akhbar bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Dominique Ng semalam.
Radin Bangan dan adiknya Simon mendakwa mereka dijadikan ‘hamba’ selama 15 tahun semasa bekerja di sebuah kilang roti di Puchong, Selangor tanpa dibayar walaupun sesen gaji.
Radin dan Simon berkata, mereka dibawa bekerja di kilang tersebut selepas dijanjikan pendapatan lumayan RM2,000 seorang oleh seorang ejen pekerjaan dari Kuching.
Mereka mendakwa setiap kali mereka meminta upah, bos mereka akan mempersoalkan kenapa mereka perlu meminta banyak wang.
Mereka juga mendakwa tidak pernah keluar dari asrama pekerja kilang tersebut yang menempatkan tujuh pekerja termasuk mereka berdua, tetapi mengaku diberi makan dan minum yang mencukupi selain tempat tinggal yang selesa .
Malah semasa cuti umum dan selama tempoh 15 tahun mereka tidak pernah bercuti walaupun sehari.
Bagaimanapun, mereka berkata tidak pernah bertindak melarikan diri dari asrama pekerja yang didiami seperti rakan-rakan mereka yang lain.
Jelas mereka, hanya terdapat tujuh orang pekerja di kilang terbabit, iaitu tiga Cina, dua Bidayuh dan mereka dua beradik.
Mereka menarik nafas lega apabila berpeluang meraikan perayaan Gawai Dayak bersama keluarga mereka di kampung pada 1 Jun ini.
Ayah kepada dua beradik itu, Bangan Jelian, 60, berkata pernah cuba untuk pergi berjumpa dengan anak-anaknya dalam tahun 2007, namun gagal menjumpai mereka.
Katanya, beliau hanya dibenarkan bercakap kepada pengurus kilang terbabit.
Bangan, bagaimanapun diberitahu agar tidak terlalu risau dan kemudiannya diarah beredar dari kilang tersebut.
Dua beradik itu kembali ke Kuching pada 12 Februari lepas, iaitu sebelum sambutan Tahun Baru Cina.
Tambang kapal terbang mereka telah dibayar oleh majikan dan apabila mereka meminta gaji, mereka hanya diberi 'ang pau' bernilai RM500.
Semalam, ditemani Dominique Ng, mereka membuat laporan polis di Balai Polis Sentral di sini.
Read full article>>