News Categories

general politics economy sports community

Saturday, February 19, 2011

Pemilik tanah NCR hanya dibayar RM250 sekeluarga



"SAYA disuruh turunkan cap jari pada kertas kosong oleh seorang penghulu dan baru malam tadi (18 Feb) kami diberitahu bahawa tindakan itu telah menyebabkan sebuah syarikat pembalakan mendapat konsesi untuk membalak di kawasan tanah kami,” kata Eseng Anak Kaseng, 61.
Menurut Eseng, beliau disuruh untuk menurunkan cap jarinya pada kertas tersebut yang menyenaraikan beberapa nama orang lain oleh seorang penghulu pada tahun lalu.
“Saya nampak pada kertas berkenaan ada beberapa nama orang lain turut disenaraikan dan selepas diterangkan oleh penghulu terbabit bahawa ia sebagai mengesahkan penerimaan wang saguhati RM250, saya pun menurunkan cap jari saya pada kertas berkenaan,” kata Eseng yang mengaku beliau buta huruf.
Eseng berkata, beliau sebenarnya tidak tahu apa yang beliau tandatangani dan hanya diberitahu sebagai mengesahkan telah menerima wang saguhati RM250.
Hari ini beliau dan 30 yang lain membuat laporan polis berhubung perkara tersebut di Balai Polis Sungai Maong di sini, dengan ditemani penguam mereka, See Chee How.
Seorang lagi pengadu, Kalong Anak Langking, 49, dalam laporan polisnya menyatakan: “Pada malam 18 Februari 2011 saya telah menerima dokumen bertajuk “1st and 2nd Defendents’ Affidavit In Opposing No. 2” daripada Numpang Anak Suntai, yang mana adalah kenyataan sumpah seseorang yang bernama Lau Pong Hui.
“Saya merujuk kepada “Deed Of Settlement And Undertaking” yang dikepilkan di dalam dokumen itu pada muka surat No. 8 sampai muka surat No.39.
“Sebelum malam 18 Februari 2011, saya tidak pernah melihat “Deed of Settlement And Undertaking” ini.
“Saya mengesahkan bahawa ianya tandatangan saya di muka surat 28. Penghulu Merum Anak Babu yang menelefon dan suruh saya pergi ke Pasar Sebuyau. Sampai di sana, dua orang pekerja kompeni yang saya tidak tahu nama mereka membawa saya pergi ke pejabat kompeni kayu balak dan mereka suruh saya menurunkan tandatangan saya di atas lima keping muka surat.
“Tujuannya sebagai yang diberitahu kepada saya bukan menjual menoa (tanah adat), bukan memberi keizinan untuk membalak, cuma menerima saguhati kampung berjumlah RM250.00 daripada kompeni.
“Kandungan dokumen ini telah dibaca dan diterangkan kepada saya pagi ini (19 Februari).
“Saya memang tidak setuju dan saya tidak pernah memberi keizinan kuasa kepada Penghulu Merum untuk membuat “Deed of Settlement And Undertaking” seperti yang dikepilkan.”
Mereka membuat laporan berkenaan untuk membolehkan pihak polis membuat siasatan ke atas kes itu.
Penduduk terbabit mendakwa syarikat pembalakan berkenaan telah melakukan kerja membalak di kawasan tanah mereka yang seluas lebih 3,500 hektar dari kawasan Sungai Sebangan dan Sungai Sebuyau.
Katanya, syarikat terbabit telah memulakan aktiviti membalak di kawasan berkenaan sejak 11 Jun tahun lalu.
Numpang ketika bercakap kepada pemberita di Balai Polis Sungai Maong semalam berkata, tujuan mereka membuat laporan polis itu adalah untuk membolehkan pihak polis membuat siasatan berhubung kemungkinan berlaku penipuan dalam kes tersebut.
Katanya, selepas ini peguam yang mewakili pemilik-pemilik tanah terbabit akan mengambil tindakan yang perlu dengan harapan untuk membatalkan ‘perjanjian’ berkenaan.
Menurut Numpang, lebih 100 daripada 300 pemilik tanah terbabit telah menandatangani perjanjian “Deed of Settlement And Undertaking” itu.
Peguam mereka, See Chee How berkata, pemilik tanah terbabit mendakwa telah menandatangan kertas yang mengandungi nama mereka, tetapi dokumen lima muka surat itu tidak mempunyai sebarang “cover letter”.
Chee How berharap pihak polis akan membuat siasatan setelah menerima laporan daripada pemilik-pemilik tanah terbabit semalam.
Beliau berkata, Mahkamah Tinggi Kuching juga mengeluarkan perintah injunksi kepada syarikat pembalakan terbabit untuk memberhentikan segala aktiviti pembalakan di kawasan yang dimaksudkan.
“Kita berharap perintah injunksi ini akan berkekalan,” kata Chee How ketika ditemui semalam.

1 comments:

Brittany Hunt said...

Good reading youur post

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Chatbox

 
Powered by Blogger