News Categories

general politics economy sports community

Saturday, February 19, 2011

PCM akan bertanding 10 kerusi

PARTI Cinta Malaysia (PCM) akan bertanding sekurang-kurangnya sepuluh kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya negeri Sarawak akan datang.
Pengerusi PCM Sarawak, Gabriel Adit Demong berkata, pihaknya juga sedang mempertimbangkan untuk meletakkan calon di kerusi Kedup dan Opar yang majoriti pengundinya masyarakat Bidayuh.
Kedua-dua kerusi itu disandang oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), sebuah parti komponen BN yang menerima kritikan pedas daripada masyarakat Bidayuh kerana kegagalannya memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat itu.
Enam daripada 71 kerusi DUN Sarawak mempunyai majoriti pengundinya berketurunan Bidayuh.
Adit berkata partinya akan hanya bertanding di kerusi yang ia yakin boleh menang dan hanya akan meletakkan calon-calon yang memiliki peluang besar untuk menang.
“Tiada ertinya kita bertanding banyak kerusi dan meletakkan terlalu ramai calon tetapi akhirnya kita kalah banyak kerusi,” katanya.
“Faktor kemenangan sangat penting dalam pilihan raya kerana kita tidak mahu calon-calon kita membelanjakan sehingga RM200,000 tetapi hanya menerima 200 undi.
“Ini pernah berlaku pada pilihan raya yang lalu dan kita tidak mahu ia terjadi kepada calon-calon PCM,” katanya.
Menurut Adit, lebih baik menang dua atau tiga kerusi daripada meletakkan 20 hingga 30 calon tetapi berakgir tanpa memenangi sebarang kerusi.
Adit berkata, calon-calon PCM terdiri daripada golongan profesional dan dihormati di kawasan masing-masing.
“Kebanyakan mereka adalah muka baru termasuk seorang wanita dan kita akan bertanding di kawasan Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan Cina,” katanya.
Adit berkata beliau akan hanya mengumumkan senarai calon PCM sehari sebelum hari penamaan calon.
Beliau berkata, ramai individu telah menyatakan hasrat untuk menjadi calon PCM tetapi kebanyakannya belum pernah ramai pergi ke kawasan untuk menemui pengundi dan membuat sebarang persiapan.
“Dalam politik seseorang perlu sanggup untuk mengorbankan masa dan wang ringgit, tetapi malangnya ada orang yang mengharapkan parti untuk menanggung segala perbelanjaan,” katanya.
Adit bagaimanapun berkata bahawa jumlah wang yang banyak tidak akan menjamin kemenangan seseorang calon.
Katanya, parti akan membayar wang deposit calon-calonnya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Chatbox

 
Powered by Blogger