KUCHING: Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab menjadikan dua adik beradik pekerja paksaan tanpa dibayar walaupun sesen gajinya.
"Masyarakt antarabangsa akan mengeji kita jika kita tidak membendung masalah ini daripada berleluasa di negara ini," kata beliau yang diminta mengulas dakwaan dua adik beradik yang mendakwa mereka dipaksa bekerja di sebuah kilang membuat roti di Puchong, Selangor selama 15 tahun tanpa dibayar upah.
Dua adik-beradik terbabit, Simon Bangan, 31, dan Radin Bangan, 30, dari kampung Antayan Kropok, Serian sebelum ini bekerja di kilang roti berkenaan selepas dijanjikan pendapatan lumayan sebanyak RM2,000 seorang oleh seorang ejen pekerjaan.
Simon dan Radin memberitahu bahawa mereka telah dijanjikan upah bulanan sebanyak RM2,000 oleh seorang ejen yang bertanggungjawab membawa mereka ke bekerja di kilang yang terletak di Puchong, Selangor tanpa kebenaran ibu bapa mereka.
Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meluahkan rasa simpati beliau terhadap mangsa yang diperlakukan sebegitu rupa berkata: "Kejadian seperti ini amat memalukan kerana perbuatan yang tidak bertamadun seperti ini boleh menjejaskan imej negara kita di mata dunia.
Sehubungan itu, beliau mahu pihak berkuasa bertindak membawa mereka yang bertanggungjawab memperlakukan dua adik beradik itu sedemikian rupa dihadapkan ke muka pengadilan.
Sambil menyifatkan perbuatan itu tidak berperikemanusiaan, beliau mahu mereka yang bertanggungjawab itu dikenakan hukuman setimpal dengan perbuatan yang dilakukan.
Wan Junaidi berkata, perkara seperti itu seharusnya diberi perhatian sepenuhnya bagi mengelakkan penganiayaan terhadap kedua adik-beradik itu berulang di masa depan.
"Bayangkan sepanjang tempoh 15 tahun tidak pernah keluar untuk melihat perubahan dunia dan bertapa seksanya mereka di tempat itu dan diperhambakan untuk bekerja setiap hari tanpa cuti.
Katanya, amat menyedihkan kerana masih ada segelintir masyarakat di negara ini mengamalkan bersikap tidak bertamadun sambil berkata mangsa berhak menerima pampasan yang sewajarnya dengan tempoh perkhidmatan mereka di kilang terbabit.
Mereka mendakwa dipaksa bekerja dari jam 8 pagi sehingga 5 petang, dan berhenti rehat untuk makan malam dan kemudiannya meneruskan kerja sehingga jam 10 malam.
Katanya, mereka juga dipaksa bekerja semasa cuti umum dan selama tempoh 15 tahun kami tidak pernah bercuti walaupun sehari.
Dua beradik itu kembali ke Kuching pada 12 Februari lepas, iaitu sebelum sambutan Tahun Baru Cina.
Tambang kapal terbang mereka telah dibayar oleh majikan dan apabila mereka meminta gaji, mereka hanya diberi 'ang pau' bernilai RM500.