KUCHING: Seorang gadis bawah umur, Steffanie Liana anak Langka, 15, dari Mukah
selamat pulang ke Sarawak pagi ini selepas menempuh pelbagai pengalaman pahit
ketika ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia kerana memasuki negara tersebut
secara tidak sah.
Steffanie atau nama Islamnya Liana Abdullah berasal dari Rumah Nangkai Nanga
Maga Mukah dikatakan mengikut "suaminya" Tohri Jadi Jaya, 22, ke Lombok Timur 26
Mac lalu selepas mereka dikahwinkan secara Islam oleh seorang rakan Tohri di
rumah panjang tempat Liana tinggal 10 Oktober tahun lalu.
Selepas hidup bersama Steffanie bersetuju dengan pelawaan Tohri untuk ke Lombok atas sebab untuk memperkenalkannya dengan keluarga Tohri di sana.
Bagaimanapun, apabila sampai di sana dia berhadapan dengan pelbagai
kesukaran hidup.
Steffanie tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 pagi
dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) jam 9 pagi dengan ditemani
oleh Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO Datuk Muhd Khairun Aseh sebelum
meneruskan penerbangan ke Sibu petang ini.
Katanya, dia berkahwin dengan Tohri, pemandu jengkaut di sebuah ladang di
Mukah hanya selepas tiga hari berkenalan dan perkahwinan tersebut mendapat restu
daripada neneknya.
Steffanie yang kini mengandung lima bulan bagaimanapun berkata dia masih lagi
sayangkan suaminya namun buat masa sekarang dia hanya mahu tinggal bersama
keluarga di kampung dan terpulang kepada suaminya untuk datang ke Sarawak
selepas ini.
Sementara itu, Muhd Khairun berkata. Liana yang tidak mempunyai dokumen
peribadi yang lengkap berjaya dibawa balik ke Malaysia dengan kerjasama Jabatan
Imigresen Indonesia dan Kedutaan Malaysia yang mengeluarkan Pas Perakuan Cemas.
Katanya, pada 27 Mac lalu ibu Liana, Dimah anak Ingai telah membuat laporan
polis di Sibu mengatakan anaknya dilarikan ke Indonesia.
Berikutan itu pihaknya dengan kerjasama Pemuda Parti Rakyat Sarawak telah
berhubung dengan Interpol dan Polis Republik Indonesia (POLRI) untuk mengesan
Liana.
"Dengan kerjasama Interpol dan POLRI kami berjaya mengesan Liana sebelum
membawanya ke Jakarta untuk dibawa balik ke Malaysia," katanya.
Menurut Muhd Khairun, mengikut Akta Imigresen Indonesia, Liana boleh
dipenjara enam bulan dan denda kerana memasuki negara tersebut secara haram.