News Categories

general politics economy sports community

Wednesday, May 11, 2011

Penduduk Kampung Semadang bangkit bantah kegiatan membalak

“Cukup dan berhentilah memberi masalah kepada kami kerana terlalu banyak sudah kerugian yang kami tanggungi sejak beberapa tahun yang lepas.”

Begitulah antara runtihan penduduk Kampung Semadang ketika menyatakan bantahan mereka terhadap usaha sebuah syarikat yang diberi lessen untuk membalak di kawasan hutan Kampung Semadang dan Kampung Danu.

Penduduk Kampung Semadang, 40 kilometer di Jalan Puncak Borneo pada mesyuarat Ahad lalu sebulat suara bersetuju akan bangkit untuk menentang sebarang usaha oleh mana-mana pihak yang berniat untuk membalak di kawasan hutan kampung itu.

Pada mesyuarat itu, yang turut dihadiri penghulu Rimong Sutur dan ketua kampung Samson Mangang, penduduk kampong berkenaan turut menyatakan rasa kesal mereka terhadap pihak berkuasa negeri kerana membawa masalah bertalu-talu kepada penduduk kampung itu.

Sementara itu, jawatankuasa bertindak yang diketuai oleh Joseph Ranges telah dibentuk pada mesyuarat itu bagi menangani isu pembalakan berkenaan dengan pihak berkuasa negeri termasuk Jabatan Hutan Sarawak.

“Banyak sudah yang telah kami korbankan untuk kesenangan orang lain, namun kami terus menjadi mangsa kerakusan pihak tertentu.

“Sebelum ini kami telah menyerahkan tanah NCR kami yang sangat luas untuk dijadikan kawasan penempatan baru untuk penduduk dari empat buah kampung yang terpaksa dipindah untuk memberi laluan kepada pembinaan projek Empangan Bengoh,” kata Ranges.

Beliau berkata, surat bantahan akan dihantar kepada Ketua Menteri untuk meminta beliau masuk campur bagi menghentikan sebarang usaha untuk membalak di kawasan hutan kampung berkenaan.

Katanya, surat yang sama juga akan dihantar kepada Ahli Parlimen kawasan Mambong, Datuk Dr James Dawos Mamit dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bengoh Dr Jerip Susil untuk meminta kedua-dua wakil itu bertindak untuk meminta pihak berkuasa tidak meneruskan cadangan untuk membalak di kawasan hutan kampung berkenaan.

Sebelum ini penduduk Kampung Semadang menyerahkan tanah NCR masing-masing tanpa kerelaan hati mereka dan hanya dibayar pampasan sebanyak RM10,000 setiap hektar.

Sementara itu, Penghulu Rimong memaklumkan kepada penduduk kampong pada mesyuarat berkenaan yang beliau pernah ditemui wakil dari sebuah syarikat pembalakan terbabit.

“Bagaimanapun saya tidak pernah memberi sebarang kebenaran kepada syarikat berkenaan,” katanya.

Ketua kampung Samson Mangang juga menyatakan beliau pernah ditemui wakil syarikat terbabit sebanyak dua kali tetapi tidak pernah memberi sebarang kebenaran.

Sebelum itu wakil syarikat terbabit juga pernah mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan kampung (JKKK) tetapi semua ahli enggan menandatangani surat sokongan/kebenaran yang disediakan syarikat berkenaan.
Bagaimanapun difahamkan pihak JKKK Kampung Danu telah menandatangani surat kebenaran berkenaan.

Tindakan dua ahli dalam JKKK kampung itu menandatangani surat sokongan itu bagaimanapun mendaoat bantahan daripada penduduk kampung berkenaan.

Mesyuarat kampung berkenaan baru-baru ini diadakan dalam suasana 'panas'apabila berlaku pertengkaran kerana penduduk yang marah dengan mengatakan mereka tidak pernah dibawa berbincang mengenai perkara itu.

Dalam pada itu, cadangan pembinaan jalan sambungan dari Kampung Semadang ke Kampung Danumungkin terpaksa dibatalkan berikutan keenggan pemilik tanah membenarkan pengambil alihan tanah mereka.

Ia juga usaha untuk menghalang usaha syarikat pembalakan menggunakan jalan raya berkenaan nanti untuk meneruskan rancangan mereka membalak di kawasan hutan antara Kampung Semadang dan Kampung Danu.

1 comments:

Unknown said...

siapa syarikat balak itu?

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Chatbox

 
Powered by Blogger