News Categories

general politics economy sports community

Thursday, September 9, 2010

Hidroelektrik hanya menguntungkan kumpulan tertentu di Sarawak

KUCHING: Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen tidak mahu sebarang empangan hidroelektrik dibina lagi di Sarawak.

Beliau yang juga setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP)Sarawak menyifatkan pembinaan empangan tersebut merosakkan alam sekitar dan biodiversiti di negeri, selain hanya menguntungkan kumpulan tertentu sahaja.

Tambahan pula, katanya, empangan-empangan tersebut juga bukannya untuk mengurangkan tarif elektrik untuk perniagaan tempatan, kilang-kilang, pengguna domestik, tetapi "membekalkan elektrik dengan kadar sangat murah kepada loji peleburan".

"Pembinaan empangan hidroelektrik seumpamanya  memusnahkan hutan rimba dan habitat penduduk pribumi.

"Pengguna yang disasarkan ialah loji peleburan, yang juga merupakan industri yang paling mencemarkan alam sekitar. Kita tidak memerlukan itu," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang dipetik berkata negeri ini memerlukan empangan hidroelektrik Bakun dan Murum bagi membekalkan elektrik kepada sebuah loji peleburan aluminium milik kumpulan tertentu.

Chong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa mendakwa konsortium itu sedang berunding dengan Syarikat SESCo Berhad bagi membekalkan kuasa elektrik pada kadar RM0.08 per kilo watt sejam (kwh) bagi loji yang dicadangkan.

Setakat ini, perniagaan tempatan, kilang dan pengguna domestik membayar kira-kira RM0.30 bagi bekalan elektrik, katanya.

"Apa yang menjadikan konsortium itu sangat istimewa sehingga membolehkan mereka menikmati kadar yang sangat rendah?

"Kenyataan Awang Tengah jelas menunjukkan bahawa bekalan elektrik yang murah dijana daripada empangan-empangan ini tidak akan memanfaatkan perniagaan tempatan, pihak industri dan juga pengguna domestik," tegasnya.

Chong berkata, untuk menjana kuasa hidroelektrik menelan modal permulaan yang sangat tinggi untuk membina empangan walaupun ia merupakan kaedah menjana elektrik yang paling murah.

Sebagai contoh, katanya, kerajaan membelanjakan berbilion ringgit unhtuki membina Empangan Bakun dan akan terus membayar faedah pinjaman untuk modal perbelanjaan bagi tempoh yang lama.

"Baru-baru ini kerajaan negeri bercakap mengenai membeli Empangan Bakun daripada kerajaan persekutuan.

"Peruntukan untuk pembelian itu akan dikeluarkan oleh penduduk Sarawak, dan semua penduduk Sarawak akan terus membayar kos kewangan untuk pembelian itu," katanya.

Justeru, beliau menyeru kerajaan negeri menghentikan rancangan untuk membina lebih banyak empangan elektrik di negeri jika projek seumpamanya membebankan rakyat dan hanya menguntungkan kumpulan tertentu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Chatbox

 
Powered by Blogger