PERSAINGAN sengit dijangka berlaku di lapan kerusi Dewan Undanan Negeri Sarawak yang
majoriti pengundinya berketurunan Bidayuh pada pilihan raya negeri Sarawak akan
datang.
Lapan kerusi
berkenaan ialah Mambong (sebelum ini dikenali sebagai Bengoh), Tarat,
Kedup,Tebedu, Tasik Biru, Opar dan dua kerusi baharu, iaitu Serumbu dan Bukit
Semuja.
Malah parti
pembangkang seperti DAP dan PKR turut sama menyatakan minat untuk meletakkan
calon masing-masing di kerusi-kerusi berkenaan, namun pemerhati politik
menjangka Barisan Nasional (BN) mampu menyapu bersih.
Ada yang
berpendapat kemungkinan akan berlaku persaingan sesama calon BN di lapan kerusi
terbabit, menyebabkan akan wujud calon yang ditaja oleh parti tertentu.
Ada juga
berpendapat sekiranya Parti Bersatu Rakyat (UPP) dan Parti Tenaa Rakyat Sarawak
(Teras) tidak diterima masuk ke dalam BN, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan
Satem selaku pengerusi BN Sarawak berkemungkinan akan memilih calon berkriteria
boleh menang – maknanya menjadi calon langsung BN tanpa mewakili mana-mana
parti komponen BN untuk bertanding di kerusi
Mambong, Opar, Tasik Biru, Serumbu dan Bukit Semuja.
Adenan
sudahpun mengumumkan bahawa kerusi Tarat, Tebedu dan Kedup yang merupakan
kerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan dipertahankan oleh penyandang
ADUN masing-masing, iaitu Datuk Roland Sagah Wee Inn (Tarat), Datuk Seri
Michael Manyin Jawong (Tebedu) dan Martin Ben (Kedup).
Bagaimanapun
sehingga kini belum jelas siapakah calon BN di
Mambong, Opar, Tasik Biru, Serumbu dan Bukit Semuja.
Penyandang
bagi kerusi Mambong ialah Datuk Dr Jerip Susil, Ranum Mina (Opar) dan Datuk
Peter Nansian Nguse (Tasik Biru).
Selain
penyertaan parti pembangkang, perpecahan yang berlaku dalam dua parti komponen
BN, iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Proresif
Sarawak (SPDP) akan turut merumitkan keadaan buat BN berikutan minat UPP dan
Teras untuk meletakkan calon masing-masing di kerusi yang sama.
Ada juga
yang berpendapat sekiranya calon langsung BN digunakan pada pilihan raya kali
ini, maka Dr Jerip yang merupakan timbalan presiden UPP serta popular di
kalangan pengundi akan dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Mambong dan beliau
dijangka ditentang calon DAP dan PKR.
Menurut
sumber itu, kemungkinan Dr Jerip akan turut ditentang oleh ‘calon gelap’, iaitu
calon bebas berkemungkinan dipasang oleh parti yang tidak berpuas hati.
Profesor
Bersekutu di Jabatan Politik dan Pengajian Hubungan Antarabangsa Universiti
Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Ahi Sarok berpendapat situasi politik Sarawak
sekarang memungkinkan Adenan memutuskan untuk meletakkan calon langgsung BN di
kerusi-kerusi yang menjadi rebutan antara SUPP and UPP, dan antara SPDP dan
Teras.
Beliau jugga
berpendapat BN perlu membenarkan SUPP meletakkan calonnya bertanding di kerusi Mambong
dan menumpukan usaha memenangi semula hati pengundi Cina.
Katanya, SUPP
mempunyai calonnya yang berpotensi yang mampu memenangi kerusi Bengoh pada
pilihan raya akan datang.
Dalam pada
itu, katanya UPP mengharap untuk menggunakan logo BN untuk membantu calonnya
menangi kersi berkenaan tetapi mempersoalkan apa yang mampu disumbang oleh UPP
kerana ia tidak dalam kerajaan (tidak dalam BN).
Menurut Ahi,
dalam perjanjian perkongsian kuasa antara parti komponen dalam BN bilangan
kerusi yang diperuntukkan kepada empat parti komponen, iaitu PBB, SUPP, PRS dan
SPDP telahpun ditentukan.
“Parti-parti
komponen juga turut bersetuju bahawa penerimaan masuk mana-mana parti baru ke
dalam gabungan BN mesti dipersetujui sebulat suara oleh kesemua parti komponen,”
katanya.
“Mengikut sejarahnya
kerusi Bengoh (sekarang Mambong) secara tradisinya adalah kepunyaan SUPP,
menyaksikan wakil rakyat pertama SUPP di kerusi berkenaan adalah mendiang Segus
Anak Ginjai.
“Sejak itu
Bengoh telah menjadi antara kubu kuat SUPP dan sehingga kini sokongan di
peringkat akar umbi masih kuat terhadap SUPP.
“SUPP sudah
menjadi rakan komponen dalam BN untuk sekian lama dan selama ini telah
membuktikan bahawa ia boleh bekerjasama dengan rakan-rakannya dalam BN untuk
membawa pembangunan ke kawasan berkenaan,” katanya.
Ahi berpendapat
walaupun bilangannya kecil tetapi masyarakat Bidayuh selama ini telah bersatu
dalam menyokong BN, tetapi mempersoalkan apakah dengan memberi kerusi-kerusi
berkenaan kepada UPP dan Teras akan memperkuatkan kedudukan BN dan wakil
Bidayuh dalam kerajaan akan bertambah kerana kedua-dua parti itu di luar BN.
Beliau
percaya langkah berkenaan boleh melemahkan BN dan perwakilan masyarakat Bidayuh
dalam BN dan kerajaan kerana setakat ini belum ada sebarang keputusan untuk
menerima UPP dan Teras ke dalam gabungan BN.
Sementara
itu, di kerusi Tasik Biru yang menjadi rebutan antara SPDP dan Teras dijangka
dipertahankan oleh Nansian yang merupakan penyandang dan timbalan presiden
Teras.
SPDP
bagaimanapun terus menuntut kerusi berkenaan dan mempunyai tiga calon
berpotensi, malah tuntutan mereka turut mendapat sokongan Parti Rakyat Sarawak
(PRS).
Setiausaha
agung PRS Datuk Wilfred Rata Nissom telah dikecam oleh Teras kerana menyatakan
sokongan terbuka kepada SPDP untuk meletakkan calonnya di kerusi Tasik Biru.
Ketua SPDP
cawangan Tasik Biru, Michael Siten ketika diminta mengulas mempertahankan
Nissom sambil beliau menyifatkan tindakan Teras sebagai tidak masuk akal kerana
menyalahkan PRS menyokong SPDP yang merupakan komponen BN.
Menurut
Siten, sebaliknya pemimpin-pemimpin Teras telah mengelirukan rakyat di Tasik
Biru kerana mendakwa calonnya akan bertanding mewakili BN di Tasik Biru pada
pilihan raya akan datang.
Siten
bagaimanapun menyatakan bahawa Nansian berhak untuk bertanding mempertahankan
kerusi Tasik Biru yang dimenanginya semasa menjadi calon SPDP-BN pada pilihan
raya lepas tetapi bukan sebagai calon BN pada pilihan raya akan datang.
Sementara sumber
menyatakan penyandang kerusi Opar Ranum Mina akan turut dinamakan sebagai calon
langsung BN di kerusi berkenaan dan
beliau dijangka dicabar calon DAP dan PKR dan berkemungkinan calon bebas.
Kerusi
Serumbu (kerusi baharu) turut menjadi minat beberapa parti dan calon dan
persaingan di kerusi berkenaan dijangka tidak kurang sengitnya.
Setakat ini
empat calon yang menyatakan minat untuk bertanding, iaitu seorang seorang
pembantu khas seorang timbalan menteri persekutuan, pesara pegawai kanan polis dan
seorang peguam.
Sementara di
kerusi Bukit Semuja, bekas ADUN Kedup dari PBB Federick Bayoi secara terbuka
menyatakan minatnya untuk bertanding atas tiket BN-PBB tetapi setelah
permintaan beliau itu ditolak oleh pucuk kepimpinan PBB, Bayoi telah
mengumumkan dirinya keluar meninggalkan PBB beberapa hari lepas.
Bekas ketua
publisiti PBB Datuk Peter Minos berpendapat persaingan dijangka sengit di semua
lapan kerusi yan pengundinya majoriti Bidayuh tetapi yakin pengundi Bidayuh
akan tetap memihak kepada BN DAN BN tidak akan berhadapan masalah yang besar
untuk menyapu habis kesemua kerusi Bidayuh.
Katanya,
masyarakat Bidayuh yang sebelum ini merupakan penyokong kuat kerajaan BN
pastinya akan mengulangi sokongan besar kepada BN pada pilihan raya akan
datang.
Beliau yang
telah dilantik mengetuai jawatankuasa publisiti PBB untuk pilihan raya negeri
akan datang yakin Adenan mampu untuk menyelesaikan isu pembahagian kerusi di
kalangan parti komponen BN serta isu membabitkan UPP dan Teras sebelum pilihan
raya.
Read full article>>